Resipi Rendang Ayam Cili Hijau Pedas ‘Menyengat’, Sangat Membuka Selera!

Rendang ayam cili hijau ini sedikit berbeza berbanding rendang biasa kerana ia lebih pedas. Tapi kita boleh sukat bahan-bahan mengikut tahap kepedasan yang disukai.

Sesuai dimasak untuk sanak saudara yang betandang ke rumah pada Hari Raya atau tak kira masa. Sesuai dimakan dengan lemang, ketupat dan sebagainya. Jom cuba!

RESIPI RENDANG AYAM CILI HIJAU

Bahan-bahan:

  •     Ayam pencen 5 ekor
  •     Santan pekat 1 ½kg
  •     Kerisik 400g
  •     Gula melaka sebiji
  •     Garam, ajinamoto dan gula

Bahan-bahan kisar:

  •     Bawang besar 10 biji
  •     Bawang putih 2 labu
  •     Serai 15 batang
  •     Lengkuas 100g
  •     Halia 150g
  •     Buah keras 6 biji
  •     Jintan manis 2 sudu besar
  •     Jintan putih 1 sudu besar
  •     Ketumbar 2 sudu besar
  •     Kunyit hidup 200g
  •     Cili akar 300g
  •     Cili hijau 300g

Cara-cara:

1. Cuci bersih ayam dan masukkan ke dalam kuali.

2. Kisar semua bahan-bahan kisar kemudian terus masukkan ke dalam kuali yang berisi ayam tadi,

3. Buka api perlahan, masak sehingga mereneh sambil dikacau selama satu jam.

4. Kemudian masukkan santan pekat, kerisik, gula melaka, garam, ajinamoto dan gula secukup rata.

5. Jika gula santan kotak, takkan keluar minyak. Jadi, masukkan minyak masak supaya rendang nampak sedikit berminyak. 

6. Bila ayam dah lembut, masukkan daun kunyit yang telah diracik halus. Kacau-kacau dan tutup api.

7. Tempoh memasak selama anggaran 4 jam supaya ayam betul-betul menjadi lembut. Selamat mencuba!

Kredit resipi dan gambar: Nazri Mat Zain